Friday, March 5, 2010

Aneh. Puas sudah memerah otak mencari idea logik yang boleh buat jadi jawapan kepada persoalan. Segala cara berfikir telah cuba dipakai guna. Dalam kotak digeledah puas. Sampai terkeluar berela-ela jauh dari kotak pun masih terasa terselubung misteri.

Dia sama sahaja, yang terlihat pada zahir mata, seperti yang lain-lain disekitar-sekitar itu. Kurang tiada dan lebih pun tiada. Tapi terasa cukup berbeza. Yang lain-lain tiada aura membunuh sehebat dia. Tidak terasa sehebat dia.

Terlihat sahaja sesusuk wajah itu, belum pernah gagal mengoncang jiwa. Membuat hati terasa mahu pecah. Meletup. Kalau sahaja benar boleh meletup, agaknya sudah arwah dia.

Bukan cantik untuk sampai jadi gila bayang. Ramai lagi sebenarnya yang jauh menarik jika mahu dibuat banding. Bukan seksi untuk sampai jadi imaginasi bila bersendiri semasa malam. Fasha Sandha (??) jauh lagi boleh buat mata terjolok.

.....................................................................................................................................................................................................................................................................................................................................................................

Atas semangat 1 Malaysia yang sedari 2-3 minit tadi berkobar-kobar dalam dada, dia buat tekadnya jadi bulat. Sebulat muka doraemon.

"errr ... assalamualaikum ... " seperti kebiasaan yang sangat biasa, memulakan bicara dengan salam. Formal. Ringkas. Padat. Berkesan.

"waalaikumsalam .." Gadis itu menjawab. Juga ringkas. Juga padat. Juga berkesan.

Saat sahaja terdengar suara salam bersambut, gugur segala jantung yang ada. Degupan jantung yang tadi sepantas kredit prepaid handphone seperti berhenti. Kredit habis.

Senyum dia. Macam orang gila. Cuma macam. Kerana dia tahu dia masih waras. Masih.

Langkah pertama berjaya dengan berjaya sekali. Sudah terbayang akan dia masa-masa bahagia yang bakal dia lalui sebentar nanti.

Lagu romantika yang berputaran di corong mp3nya kini berkumandang jelas dalam kepala. Terasa seperti mahu sahaja menari gembira mengikut rentak irama yang berkumandang itu.

Bauan bunga-bunga cinta yang entah dari mana asalnya tiba-tiba bermain pada hidungnya. Misteri. Dari mana datang bau bunga yang harum semerbak walaupun tiada bunga yang kelihatan di sekelilingnya. Adapun hanya bunga kertas. Bunga kertas mana ada bau. Haish .. tak kuasa dia memikirnya. Biarlah jadi misteri terus.

Terlopong mulut dia seluas-luas dunia. Sampai ternampak kelibat comel anak tekak. Nasib sahaja anak tekak itu bukan aurat pada lelaki. Kalau tidak sudah jadi berdosa dia. Percuma. Lama sangat dia bermonolog sendiri tadi. Sibuk berangan hasil dari jawapan salam tadi. Lagak seorang kroni berangan dapat projek juta-juta dari menteri. Kalah Mat Jenin angan-angan dia tadi.

Gadis itu telah hilang dari pandangan mata. Entah ke mana perginya.

Suasana tiba-tiba jadi gamat semula. Dengan riuh ramai orang berlalu dan berlalang. Dengan suara yang ramai entah siapa empunya. Dan segala macam bunyi. Suasana jadi seperti konsert My Chemical Romance life at Taman KLCC. Gamat dan bising.

Alamak ... mahu senyum atau mahu kecewa?